Home Semasa Permohonan tangguh proses ambil alih tapak kuil ditolak

Permohonan tangguh proses ambil alih tapak kuil ditolak

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 29 Nov – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos permohonan tiga penganut Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, untuk menangguhkan pelaksanaan Interim Penghakiman Persetujuan dan Writ Milikan oleh One City Development Sdn Bhd (One City), bagi mendapatkan semula tapak kuil itu.

Memetik laporan Bernama, Hakim M. Gunalan telah membuat keputusan itu di dalam kamarnya selepas menolak permohonan plaintif, S. Thangaraju, 37, M. Mohanakrishnan, 59, dan S. Nagarajah, 52.

Selain One City, ketiga-tiga mereka turut menamakan K. Chellappa, Pengarah Perancang Bandar dan Desa Selangor, Kerajaan Negeri Selangor dan M. Nagaraju sebagai defendan-defendan.

Peguam Claudia Cheah Pek Yee yang mewakili One City ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir berkata, mahkamah membuat keputusan itu atas alasan antaranya, permohonan plaintif tiada locus standi dan One City adalah pemilik sah tapak kuil berkenaan.

Ketiga-tiga plaintif memfailkan permohonan pada 12 Nov lepas bagi mendapatkan perintah penangguhan pelaksanaan interim Penghakiman Persetujuan bertarikh 11 Mac 2014 dan writ pemilikan untuk mendapatkan semula hartanah kuil berkenaan pada 22 Nov 2018.

Permohonan itu dibuat berikutan plaintif telah memfailkan saman terhadap kesemua defendan pada 10 Nov lepas, bagi menuntut antaranya, perintah injunksi bahawa defendan-defendan atau orang lain dilarang daripada masuk, dan berada atau menggunakan kekerasan untuk mendapatkan semula hartanah kuil itu.

Selain itu, saman itu difailkan bagi memohon perintah bahawa Penghakiman Persetujuan tersebut adalah batal dan tidak sah, salah di sisi undang-undang serta tidak berkuasa, selain kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Isu pemindahan kuil itu telah mencetuskan rusuhan di kawasan rumah ibadat berkenaan pada awal pagi Isnin dan Selasa, yang menyaksikan seorang anggota bomba cedera parah selain perusuh turut membakar 23 kenderaan dan merosakkan cermin bangunan kompleks One City yang terletak satu kilometer dari kuil tersebut.

Sehingga hari ini polis menahan 30 individu bagi membantu siasatan.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!