Home Semasa Dera Zara : Suami pengasuh dipenjara 20 tahun, 12 sebatan

Dera Zara : Suami pengasuh dipenjara 20 tahun, 12 sebatan

by Air Times News Network

KAJANG, 29 Nov – Suami kepada pengasuh bayi Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau Zara, yang mati dipercayai didera secara fizikal dan seksual dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dengan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kajang di sini, pada Rabu kerana memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi itu.

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap Hazmi Majid, 36, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap bayi malang berusia 11 bulan itu, awal bulan ini.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu didakwa memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi perempuan itu di sebuah rumah di Apartment Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, dekat sini, antara 10.30 pagi dan 1.30 petang, 7 Nov lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 20 tahun dan enam kali sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 20 tahun dan enam kali sebatan bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tangkap  pada 13 Nov lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria memohon hukuman berat ke atas tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius melibatkan mangsa berumur 11 bulan yang tidak berdaya untuk mempertahankan diri sendiri.

“Tertuduh merupakan suami kepada pengasuh mangsa yang sepatutnya turut menjaga mangsa bukannya mengambil kesempatan ke atas mangsa. Kesalahan terhadap bayi dan kanak-kanak juga semakin menular dalam kalangan masyarakat hari ini,” katanya.

Pada 23 Nov lalu, Hazmi didakwa di Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan membunuh bayi perempuan tersebut  di tempat sama.

Sebelum ini, media melaporkan perbuatan tidak berperikemanusiaan dilakukan ke atas Nur Muazara Ulfa yang meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!