HULU SELANGOR, 28 Nov – Pihak polis menafikan berita tular dalam media sosial malam tadi yang meminta penduduk sekitar Sungai Buaya supaya tidak keluar dari rumah adalah tidak benar.
Memetik laporan Sinar Online, Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, berita tersebut mendakwa segelintir kaum India membuat sekatan jalan raya di sekitar kawasan perumahan Ihsan Ibu, Koskan.
Di lokasi sama turut dakwaan kononnya pasukan tentera berkawal di semua kawasan kuil di Sungai Buaya, Hulu Selangor juga adalah palsu, katanya.
“Siasatan ibu pejabat ini mendapati berita yang tular adalah tidak benar dan semata-mata untuk menakutkan serta menimbulkan suasana gangguan ketenteraman awam di kawasan berkenaan.
“Semakan juga mendapati memang terdapat pasukan tentera di kawasan tersebut yang sedang menjalani latihan tahunan dan dijangka akan tamat pada 30 November ini.
“Saya menasihatkan penduduk di kawasan tersebut supaya tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu yang tular,” katanya.
Mengulas lanjut, Bak Phai berkata, pihak polis ditugaskan membuat rondaan lebih ketat bagi menjamin keselamatan penduduk setempat.
“Untuk sebarang pengesahan maklumat , mana-mana individu boleh menghubungi IPD Hulu Selangor di talian 03-60651021,” ujar beliau.