KUALA LUMPUR, 28 Nov – Gagasan Tiga (G3) hari ini membuat satu laporan polis berhubung kenyataan Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P. Waytha Moorthy dan EXCO Kerajaan Negeri Selangor, V.Ganabatirau.
Menurut Presiden Gagasan Tiga (G3), Raggie Jessy Rithaudeen berkata Waytha Moorthy dan V.Ganabatirau yang tidak bertanggungjawab serta mungkin menjadi pemakin kepada rusuhan di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di perkarangan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya lalu.
Dalam kenyataan Waytha sebelum ini, beliau menuduh pihak polis menipu dalam memberi kenyataannya dengan mengatakan rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman pada malam Isnin lepas berpunca dari isu penempatan semula kuil dan tiada unsur perkauman.
“Waytha turut menuduh anggota polis memakan masa selama 1 jam 45 minit untuk sampai ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan”.
Namun kenyataan itu bercanggah sama sekali dengan penjelasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, bahawa kereta peronda polis sampai 10 minit setelah menerima panggilan.
“Tuduhan-tuduhan Waytha bukan hanya mencemarkan imej PDRM, malah memberikan persepsi salah kepada orang awam bahawa pihak polis mampu menyuraikan sesuatu ketenggangan atau situasi rumit sejurus selepas menerima panggilan” kata Raggie Jessy.
Menurut Raggie Jessy, kenyataan yang dibuat oleh Waytha itu mungkin telah menyebabkan usaha puak-puak tertentu untuk menyerang trak FRU dan kereta polis serta anggota-anggota bomba yang hadir di tempat kejadian.
“Waytha harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku di kuil tersebut.
“Saya menganggap Waytha dan V.Ganabatirau bertanggungjawab terhadap kecerderaan yang dialami oleh anggota bomba yang tercedera.
Raggie Jessy yang ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur hari ini turut menyatakan sokongan terhadap usaha polis dalam meleraikan rusuhan di sekitar kuil tersebut.
Gagasan Tiga juga mengutuk sekerasnya kenyataan Ganabatirau yang dilihat berniat menjadikan rusuhan tersebut bersifat perkauman dan keagamaan.
Pada Isnin lepas, Ganabatirau memuat naik kenyataan yang tidak bertanggungjawab di Facebooknya apabila mengaitkan insiden rusuhan di kuil tersebut dengan sentimen agama apabila menuduh dimulakan sekumpulan orang Islam.
Bagaimanapun selepas dikecam pelbagai pihak, Ganabatirau memadamkan kenyataan asal dan menggantikan sekumpulan orang Islam kepada kumpulan gangster.