KOTA KINABALU, 27 Nov – Perintah berkurung di kawasan perairan di tujuh daerah dalam Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir hari ini akan dilanjutkan sehingga 12 Disember, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.
Memetik laporan Bernama, Omar berkata perintah berkurung yang berkuat kuasa dari pukul 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan serta Beluran dan mereka yang tinggal di kawasan itu diminta berada di dalam rumah dalam tempoh tersebut.
“Orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang telah diisytiharkan antara 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau-pulau peranginan.
Ia juga adalah bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta rakyat yang berada di kawasan daratan ESSZone, katanya.
“Perintah berkurung akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka,” katanya.
Omar berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.
“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di daerah ESSZone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.