Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat ‘ASEAN Armies Rifle Meet 2018’ perkukuh hubungan diplomasi pertahanan Tentera Darat ASEAN

‘ASEAN Armies Rifle Meet 2018’ perkukuh hubungan diplomasi pertahanan Tentera Darat ASEAN

by Air Times News Network

MELAKA, 27 Nov – Program ASEAN Armies Rifle Meet (AARM) 2018 edisi kali ini bertemakan ‘Fostering Camaraderie’ yang bermaksud pemerkasaan semangat persaudaraan dan kesatuan di kalangan Tentera Darat Negara ASEAN.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan 9 Panglima Tentera Darat negara-negara ASEAN telah menyempurnakan acara penutup AARM 2018 di lapang sasar 400m Kem Terendak, hari ini.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, AARM merupakan penganjuran yang ke-28 sejak diperkenalkan oleh Malaysia pada tahun 1991.

“Pada edisi kali ini, TDM telah diberikan penghormatan sebagai penganjur buat kali kelima sejak kali terakhir menganjurkannya pada tahun 2010”.

AARM merupakan kejohanan menembak tahunan anggota Tentera Darat negara-negara ASEAN bertujuan memupuk semangat muhibah, setiakawan serta semangat ASEAN dan dianjurkan secara bergilir-gilir dalam kalangan negara anggota iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD) sekali lagi pada edisi kali ini menjuarai pertandingan menembak ini.

“AARM merupakan satu bentuk pengukuhan hubungan diplomasi pertahanan antara Tentera Darat negara ASEAN”.

“Pada kali ini, seramai 550 peserta bertanding untuk merebut 15 piala pusingan dalam lima kategori yang dipertandingkan iaitu pistol (lelaki), pistol (perempuan), rifle, carbine dan machine gun.

“Pertandingan AARM dijalankan secara individu dan berkumpulan bagi merebut emas, perak dan gangsa yang ditawarkan bagi tiga tempat teratas”, kata kenyataan itu.

Sepanjang penganjuran pertandingan AARM, Indonesia telah menjuarai sebanyak 12 kali, Thailand sebanyak lapan kali, Malaysia dan Singapura masing-masing tiga kali serta Filipina baru sekali pada tahun 2005.

Pada edisi yang akan datang Indonesia bakal menjadi hos penganjur bagi AARM 2019.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!