LUMUT, 26 Nov – Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berharap kepimpinan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada masa hadapan dapat meneruskan plan Transformasi TLDM 15 to 5 sebagaimana yang direncanakan sebelum ini.
Menurut laporan Sinar Harian, Ahmad Kamarulzaman berkata, plan jangka panjang selama 35 tahun itu dilihat bakal memberikan banyak manfaat terutamanya bagi meningkatkan keupayaan armada TLDM.
Menurut beliau, plan berkenaan yang dijangka menjadi realiti pada 2050 itu bakal memberikan pulangan besar kepada negara khususnya daripada aspek keselamatan.
“Apabila kapal-kapal kita sentiasa ada di laut, ia akan berikan perasaan selamat kepada komuniti maritim terutamanya para nelayan dan kapal-kapal yang melalui kawasan kita.
“Secara tidak langsung, perasaan selamat ini akan membantu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Selain itu, ia akan memelihara kepentingan strategik negara khususnya dalam industri perikanan, minyak dan gas (di laut) selain saya yakin plan 15 to 5 ini berikan dividen ekonomi, sosial dan seterusnya berikan kita kekuatan holistik,” katanya.
Ahmad Kamarulzaman berkata demikian pada sidang media selepas perbarisan armada (fleet review) dan street lining penghargaan sempena persaraannya di Tambatan Pangkalan TLDM di sini hari ini.