Home Semasa Budaya sabotaj masih ada dalam perkhidmatan awam, tapi tidak ramai – PM

Budaya sabotaj masih ada dalam perkhidmatan awam, tapi tidak ramai – PM

by Air Times News Network

LANGKAWI, 25 Nov – Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata budaya mensabotaj pelaksanaan dasar-dasar kerajaan masih wujud dalam kalangan kakitangan perkhidmatan awam, namun jumlahnya sudah berkurangan.

Menurut laporan Bernama, beliau masih bercakap mengenai isu itu kerana ‘kerja pembersihan’ di dalam jabatan dan agensi kerajaan tidak boleh dibuat dalam jangka masa yang singkat, kata Tun Dr. Mahathir.

“Masih ada pegawai yang tidak komited…misalnya berlaku ada kakitangan empat bulan tidak dibayar gaji sedangkan ia boleh dilakukan, saya tidak faham kenapa.

“…..kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya dalam sesi soal jawab di Majlis Perjumpaan Pegawai Kanan Kerajaan bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi di sini, semalam.

Perkara berkaitan sabotaj itu juga sering dibangkitkannya dengan tujuan sebagai peringatan supaya semua jentera kerajaan tidak melakukan perkara yang salah, sebaliknya menjalankan tanggungjawab, mereka dengan amanah.

Beliau berkata kakitangan awam juga harus bertoleransi dengan pegawai-pegawai khas lantikan politik yang kurang arif dalam pentadbiran dan sebaiknya mengelakkan sebarang perbalahan.

“Orang baharu ni kena belajar, kalau tak ada langsung sabar, tak dapat bekerjasama, sebab tu kita kena tolak ansur sedikit sebanyak,” katanya.

Semua pihak perlu belajar untuk menghadapi kekurangan bukan dengan kemarahan, tapi membetulkan apa yang salah dengan baik, ujar beliau.

Katanya dunia mengiktiraf pemerintahan Malaysia sudah pulih dengan baik walaupun tidak seperti dahulu.

“Mereka perhati dan tanya apa nak buat… Perdana Menteri Pakistan datang nak tanya kita sedikit sebanyak yang dah berjaya dapat laksanakan tugas kita.

“Kerosakan pemerintah terdahulu sangat dahsyat hingga kita pun hairan, tapi kini kita dapat pulihkan pentadbiran negara walaupun belum lagi capai tahap yang memuaskan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!