BANGKOK, 22 Nov – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, yang dalam lawatan pengenalan selama dua hari ke Thailand mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha di pejabatnya di Rumah Kerajaan pada Rabu.
Kedua-dua pemimpin itu meluangkan masa kira-kira 45 minit berbincang pelbagai isu kepentingan bersama semasa perjumpaan itu.
Yang turut hadir semasa perjumpaan itu ialah duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel dan para pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, yang dilantik memegang jawatan itu susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) semasa PRU ke-14, juga mengunjungi rakan sejawatannya Jen Prawit Wongsuwon di pejabatnya di Kementerian Pertahanannya.
Prawit juga adalah Timbalan Perdana Menteri Thailand.
Mohamad dengan diiringi Prawit, diberi penghormatan melakukan upacara tabik hormat dan pemeriksaan perbarisan tentera dari tiga cawangan Angkatan Tentera Thailand.
Pada Selasa, selepas ketibaan beliau di Bangkok, Menteri Pertahanan melawat Pusat Operasi Pencegahan Pengganas Tentera Diraja Thailand, di mana beliau turut diberi taklimat mengenai peranan pusat berkenaan dan kemudahan moden yang terdapat di situ.
Beliau juga menyaksikan demonstrasi menyelamat mangsa penculikan oleh komando Thailand yang berpakaian serba hitam.
Mohamad dijadual berlepas pulang malam tadi selepas menghadiri jamuan malam rasmi. – BERNAMA