KUALA LUMPUR, 21 Nov – Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong hari ini menziarahi kediaman keluarga anggota tentera Koperal Abd Malik Idris di Kampung Nakhoda Batu Caves yang baru kehilangan anaknya pada Isnin lepas.
Anaknya, Muhammad Harith Hazim berusia enam tahun maut akibat terjatuh dari tingkat tiga Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Wardieburn, Setapak.
Sementara itu, Liew meminta pihak ATM menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti punca sebenar kemalangan serta langkah sewajarnya yang perlu diambil bagi mengelakkan tragedi sebegini berulang lagi.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata siasatan itu dibuat bagi meneliti punca sebenar kemalangan serta langkah sewajarnya yang perlu diambil bagi mengelak tragedi sama berlaku.
Turut serta dalam kunjungan itu, Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Mohd Azhar Che Mat Dali yang mewakili Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
Dalam kunjungan itu, Liew turut menyampaikan sedikit sumbangan peribadi kepada keluarga Koperal Abd Malik. Sumbangan turut disampaikan oleh Mohd Azhar bagi pihak Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
“Selepas kunjungan itu, Liew turut melawat tempat kejadian untuk melihat sendiri keadaan bangunan dan kemudahan keselamatan di kuarters itu,” menurut kenyataan itu.