AMPANG, 21 Nov – Gabungan Kuasa Tiga (G3) hari ini telah mengisytiharkan perang terhadap DAP sebagai musuh utama umat Islam di negara ini.
Dalam kenyataan media oleh gabungan tersebut, penguasaan parti DAP sebagai kuasa majoriti dalam kerajaan hari ini sudah mula menunjukkan belang dan mempunyai niat tersirat untuk menggugat kedudukan orang Melayu dan agama Islam dalam negara ini.
“ICERD adalah jalan pintas DAP”
ICERD digunakan sebagai jalan pintas oleh DAP untuk menghapuskan kedudukan Melayu, Bumiputera, Institusi Raja-raja Melayu serta agama Islam dari kedudukannya yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, jelas G3.
“G3 ditubuhkan sebab kelemahan kerajaan sedia ada untuk perjuangkan hak Melayu, agama Islam dan Institusi Raja-raja. Tujuannya untuk memelihara dan pastikan apabila kelompok (kerajaan) ini gagal, kita akan pastikan perkara ni dipelihara.
“Terdapat ura-ura bahawa ada usaha tertentu kerajan nak tubuh negara ala republik. Kita lihat ia menjurus ke arah itu. Kerajaan sendiri tak hormat institusi Diraja sebab wujudnya bangsa DAP ini,”kata pengerusi G3, Raggie Jessy.
Beliau menambah, beberapa isu yang berbangkit kebelakangan ini termasuk cadangan kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), sebenarnya didalangi oleh DAP.
Justeru kata beliau, matlamat utama penubuhan G3 adalah untuk bertindak sebagai kuasa ketiga (third force) ekoran kelemahan kerajaan sedia ada menangani isu yang dibangkitkan oleh DAP melibatkan tiga perkara utama tersebut.
“Kita akan bergerak secara agresif untuk pertahan Institusi Diraja. Kita juga mahu menyatukan ummah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut berkaitan ICERD, jelas Raggie, ia sememangnya dibangkitkan oleh veteran DAP, Lim Kit Siang yang mempunyai agenda tertentu yang berselindung di atas nama ‘penghapusan segala bentuk diskriminasi Kaum’.
“ICERD kalau kita lihat terdapat ramai pihak yang buat kenyataan. Kita ada ketua hakim yang buat kenyataan di mana ada perkara apa di dalam perlembagaan, dan ia (ICERD) bercanggah dengan perlembagaan.
“Ada yang terlepas pandang. DAP sengaja bangkit isu ICERD. Ia dibangkitkn oleh Lim Kit Siang, dia bapa perkauman di negara ini. Dia bawa agenda ala-ala Zionis di negara ini. Mereka kata ini isu perkauman tapi bagi saya ia isu agama kerana negara kita unik. Ia satu bentuk diskriminasi kaum dan secara tak langsung ia libatkan agama,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, G3 tidak berkaitan dengan penglibatan mana-mana parti politik, namun menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan parti yang sehaluan.
“Saya tidak akan berhenti!”
Bekas ahli seumur hidup DAP yang juga Timbalan Pengerusi G3, Amran Ahmad Norberkata, usaha bagi mengekang kemaraan parti cauvinis itu perlu digerakkan secara tuntas sebelum ia menghancurkan negara.
“Sebagai bekas ahli DAP seumur hidup, saya tahu ia tak akan berhenti setakat itu saja. Selepas ni ada lagi isu-isu lain yang akan menuntut dan menghakis hak-hak orang Melayu. Ia akan diambil DAP dan di situ wujud keperluan untuk kita bergabung menentang dan menghapuskan DAP.
“Kita akan hancurkan DAP sebelum DAP menghancurkan negara kita. Untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang, DAP tidak bagus untuk Malaysia,” katanya.
“Jangan cuba kacau perlembagaan Malaysia”
Di dalam sidang media itu juga, G3 mengumumkan untuk mengadakan siri jerayawara (roadshow) ke seluruh negara, yang akan bermula minggu hadapan di Ukay Perdana.
Sementara itu, Datuk Azwanddin Hamzah, Penasihat G3 menyuarakan amaran agar Perlembagaan Persekutuan Malaysia untuk tidak diganggu.
“Kita akur pilihanraya telah selesai dan mereka memerintah negara, menjadi menteri, itu kita akur,
“Amaran keras saya adalah mudah, jangan cuba kacau Perlembagaan Malaysia, jangan kacau Raja-raja Melayu, jangan ambil hak orang melayu dan kita tidak pernah mengambil hak orang-orang kaum lain,” kata Azwanddin.
Beliau menolak dakwaan bahawa G3 bersifat rasis kerana ahli-ahli G3 turut mempunyai rakan-rakan dari bangsa lain.
Beliau turut menjangkakan sekitar 300 NGO akan berada di bawah G3 dalam tempoh 3 bulan ini. Sehingga kini, sebanyak 57 NGO yang secara rasmi bernaung di bawah G3, .
G3 turut menyatakan komitmen mereka untuk turun padang menyertai himpunan gergasi bersama UMNO dan PAS pada 8 Disember ini.