SHAH ALAM, 19 Nov – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan semua papan tanda menggunakan dua bahasa di Shah Alam agar diturunkan secepat mungkin.
Baginda turut menitahkan kesemua papan tanda nama jalan tersebut menggunakan Bahasa Melayu secepat yang mungkin.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato’ Haji Mohamad Munir Bani, penukaran tersebut diharapkan dilaksanakan sebelum sambutan ulang tahun hari keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Sultan Selangor telah menitahkan supaya semua papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina di Shah Alam ditanggalkan dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.
“Operasi penukaran papan tanda jalan ini hendaklah dilaksanakan dengan segera dan dapat diselesaikan selewat-lewatnya sebelum tarikh sambutan ulang tahun Hari Keputeraan ke-73 Sultan Selangor iaitu pada 11 Disember 2018,” menurut kenyataan tersebut.
Titah baginda itu dipercayai susulan laporan media sebelum ini mengenai beberapa papan tanda nama jalan di Shah Alam yang sebelum ini ditulis dengan bahasa Melayu dan tulisan Jawi namun kemudian ditukarkan kepada tulisan Cina serta mengekalkan bahasa Melayu.