Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat ASEAN Armies Rifle Meet 2018’ perkasa hubungan Tentera Darat negara ASEAN

ASEAN Armies Rifle Meet 2018’ perkasa hubungan Tentera Darat negara ASEAN

by Air Times News Network

MELAKA, 17 Nov – Program ASEAN Armies Rifle Meet (AARM) 2018 menjadi platform terbaik kepada pasukan Tentera Darat dalam memperkasakan kewibawaan mereka sekali gus mengukuhkan hubungan kerjasama dalam kalangan anggota tentera darat di seluruh Asia Tenggara, kata Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah.

Katanya program yang diperkenalkan oleh Tentera Darat Malaysia pada 1991 itu juga menjadi gelanggang untuk pasukan Tentera Darat dari negara ASEAN membincangkan permasalahan berkaitan keselamatan negara dan serantau.

“Pertandingan ini bukanlah untuk melihat pasukan negara mana yang kuat atau lemah, sebaliknya program ini untuk meningkatkan jati diri anggota tentera dalam mempertahankan kedaulatan negara di samping memupuk semangat keakraban antara anggota tentera di seluruh Asia Tenggara.

“Walaupun anggota tentera darat yang menyertai program ini berbeza negara, bahasa dan budaya, program seumpama ini membuatkan kami menjadi begitu rapat dan menguatkan lagi hubungan multilateral antara negara ASEAN,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan AARM ke-28 di Lapang sasar Kem Terendak, Sungai Udang, di sini hari ini. 

Turut hadir TPTD dan wakil TPTD dari negara ASEAN.

AARM merupakan kejohanan menembak tahunan anggota Tentera Darat negara-negara ASEAN bertujuan memupuk semangat muhibah, setiakawan serta semangat ASEAN dan dianjurkan secara bergilir-gilir dalam kalangan negara anggota iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Seramai 550 peserta bertarung dalam lima kategori yang dipertandingkan bermula hari ini hingga Sabtu depan.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!