Home Pertahanan dan Keselamatan Lapan ditahan terlibat dalam kumpulan pengganas – KPN

Lapan ditahan terlibat dalam kumpulan pengganas – KPN

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melancarkan operasi di Putrajaya dan Sabah antara 30 Oktober hingga 12 November lalu telah berjaya menahan tujuh individu warganegara Filipina dan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataan berkata, tangkapan pertama dilakukan pada 30 Oktober di Putrajaya membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai ejen menjual jongkong emas.

“Suspek dipercayai terbabit dalam menyalurkan dana kepada Akel Zainal (rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan Daesh di Syria) pada tahun2017 bagi tujuan membiayai aktiviti keganasan.

Tangkapan kedua pada 1 Nov di Tenom, Sabah yang melibatkan tiga suspek warganegara Filipina berusia 27, 34 dan 51 tahun yang bekerja sebagai buruh.

“Semua suspek menganggotai Kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG) yang terlibat dalam kegiatan ‘Kidnapping For Ransom’ (KFR) di Selatan Filipina dan Sabah.

“Salah seorang daripada suspek yang berusia 34 tahun mempunyai kemahiran dalam menghasilkan senjata api bagi kegunaan Kumpulan ASG,” katanya.

Tangkapan ketiga dibuat pada 8 November lalu di Ranau, Sabah melibatkan dua suspek warganegara Filipina berusia 35 dan 46 tahun yang bekerja masing-masing sebagai buruh dan juruteknik, kata Mohamad Fuzi dalam kenyataannya.

“Kedua-dua suspek juga adalah anggota kumpulan ASG dan terlibat dalam kegiatan KFR di Selatan Filipina dan Sabah. Suspek berusia 35 tahun berperanan merekrut kanak-kanak untuk menyertai Kumpulan ASG dan dijadikan perisai manusia ketika bertempur dengan Tentera Filipina di Basilan, Selatan Filipina.

“Suspek juga terbabit dalam memenggal kepala tebusan ASG. Semasa ditahan, kedua-dua suspek sedang merancang untuk melarikan diri ke Selatan Filipina bagi mengelak ditahan pihak berkuasa Malaysia,” katanya.

Manakala tangkapan keempat pada 10 November lalu di Kinarut, Sabah melibatkan seorang suspek warganegara Filipina berusia 30 tahun yang bekerja sebagai tukang besi.

Suspek adalah salah seorang Komander Kumpulan ASG yang juga orang kanan kepada Furiji Indama, pemimpin kanan ASG.

Pada 12 November lalu iaitu tangkapan kelima di Tenom Sabah melibatkan seorang suspek warganegara Filipina yang berusia 60 tahun bekerja sebagai peniaga pasar malam.

“Suspek terlibat dalam melindungi salah seorang suspek yang ditangkap pada 8 November lalu ketika cuba melarikan diri daripada buruan polis.

Kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA-Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!