Home Semasa ICERD: Kerajaan jamin tidak mansuh Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan

ICERD: Kerajaan jamin tidak mansuh Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Kerajaan memberi jaminan tidak akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan sekiranya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy memberikan jaminan itu pada persidangan Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang mahu tahu pendirian kerajaan berhubung perkara itu.

Di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ia adalah berdasarkan konsep kuota untuk melindungi kepentingan orang Melayu serta pribumi Sabah dan Sarawak bagi kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam.

Waytha Moorthy berkata kerajaan akan mengadakan konsultasi berhubung ICERD bagi mendapatkan pandangan perundangan dari dalam dan luar negara, serta pendapat intelektual masyarakat.

Beliau berkata konsultasi itu yang akan diadakan pada suku pertama 2019 dilaksanakan kerana isu-isu berkaitan ICERD tidak mendapat penjelasan yang menyeluruh  sehingga menimbulkan kebimbangan dan kerisauan rakyat.

“Proses konsultasi ini sesungguhnya menepati pandangan dan nasihat Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) apabila beliau pada Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan bahawa Malaysia baharu dengan teguh mendukung prinsip-prinsip yang diperkenalkan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dalam pembabitan antarabangsa kita,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri hari ini.

Dalam soalan asalnya, Azalina mahu kerajaan menyatakan perincian mengenai pengecualian yang akan diberikan kepada Malaysia sekiranya negara mengesahkan ICERD, serta indikator yang menentukan negara telah mencapai objektif seperti terkandung dalam Artikel 1(4) ICERD.

Waytha Moorthy menambah langkah konsultasi perlu dilaksanakan bagi mendapatkan persetujuan tentang ICERD sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan muktamad meratifikasi konvensyen itu. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!