KUALA LUMPUR 15 Nov – Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempersoalkan bagaimana kerajaan berhasrat membeli aset ketenteraan dengan belanjawan yang dikurangkan.
Hishammuddin yang merupakan Menteri Pertahanan pada penggal lalu turut menuding jari kepada pembahagian belanjawan kepada kementerian itu yang didakwa tidak selari dengan pendirian ketelusan sebagaimana ditekankan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Sembrong itu berkata demikian ketika mengulas peruntukan kementerian pertahanan (Mindef) yang dipotong sehingga RM2 bilion, sedangkan kerajaan membayangkan mahu membeli berbagai-bagai kenderaan dan peralatan ketenteraan.
Beliau turut mempersoalkan keinginan disebut-sebut Kementerian Pertahanan yang dipimpin Menterinya, Mohamad Sabu membeli pesawat terbang tanpa pemandu (UAV), pesawat pemantau maritim sedangkan peruntukan dikurangkan RM2 bilion.
“Kalau dulu pun kita tidak mampu beli aset-aset sebegini, macam mana beliau nak yakinkan orang ramai bahawa aset-aset itu dapat dipenuhi dengan belanjawan dibentangkan.
“Dalam konteks penyelengaraan pula, menteri pertahanan kata penyelengaraan seperti biasa tetapi saya kaji belanjawan kali ini peruntukkan penyelengaraan pun dikurangkan 84 peratus.
“Jadi bagaimana kita nak pastikan (hal penyelenggaraan) aset-aset kita, kita boleh berpegang kepada (kata-kata) Mindef?”, kata beliau ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.