KUALA LUMPUR, 14 Nov – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu melakukan lawatan kerja ke Bali, Indonesia bermula hari ini sehingga esok bersempena dengan Mesyuarat ke-41 Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia – Indonesia.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan hari ini, buat julung-julung kali Mohamad akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan bersama Menteri Pertahanan Republik Indonesia, TYT Jeneral (B) Ryamizard Ryacudu.
Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia-Indonesia adalah mesyuarat dua hala yang diadakan setiap tahun secara bergilir-gilir di antara Malaysia dan Indonesia.
Ia bertanggungjawab dalam memantau serta mentadbir kerjasama persempadanan bagi Malaysia dan Indonesia di samping memastikan kestabilan di kawasan sempadan Malaysia dan Indonesia sentiasa terkawal.
“Dalam mesyuarat itu, kedua-dua Menteri Pertahanan akan mendengar laporan berhubung kegiatan yang dilaksanakan dan kemajuan bersama yang dicapai sejak Mesyuarat ke-40 di Kuala Lumpur pada 28 September 2017.
“Di samping itu, kedua-dua Menteri Pertahanan dijangka akan membincangkan secara khusus usaha ke arah meningkatkan tahap keselamatan di kawasan sempadan yang akan menjurus kepada peningkatan tahap sosio-ekonomi dan memperbaiki taraf hidup demi kesejahteraan rakyat di sempadan kedua-dua negara,” katanya.
Mohamad akan diiringi Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abd Manaf, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Engku Hamzah Tuan Mat dan pegawai kanan dari pelbagai agensi yang berkepentingan.
Selain daripada memperngerusikan Mesyuarat ke-41 jawatankuasa Am Sempadan Malayisa – Indonesia, Mohamad Sabu akan turut mengadakan pertemuan tertutup dengan rakan sejawat beliau dari Republik itu.