GUANGDONG, 8 Nov – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Hj Affendi bin Buang TUDM telah menghadiri Zhuhai Airshow yang sedang berlangsung di Guangdong, China bermula 6 hingga 11 November 2018, semalam.
Beliau turut berkesempatan untuk melawat ruang-ruang pameran yang mempamerkan peralatan, sistem pertahanan, dron dan teknologi pesawat-pesawat udara terkini yang dikeluarkan syarikat industri Republik Rakyat China.
Peluang keemasan turut diambil oleh Panglima Tentera Udara untuk menjemput syarikat pempamer-pempamer di Zhuhai Airshow seperti CETC, AECC, BAIC group, COMAC, CAAC, Dong Feng Group dan juga Tianhe Defense untuk turut menyertai dan mempamerkan produk-produk mereka sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan
Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ‘19).
Beliau juga diberi taklimat mengenai pesawat-pesawat yang dihasilkan oleh Aviation Industries China.
Lawatan ini adalah sebahagian daripada rangka promosi Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ‘19) di luar negara.
Delegasi dari LIMA ‘19 juga turut mengambil bahagian di Pameran Indo Defence 2018 Edisi ke-8 yang sedang
berlangsung di Jakarta mulai 7 – 10 November 2018.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif EN Projects untuk LIMA ‘19, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Sabri Adam TUDM (Bersara) dan Asisten Ketua Staf Kejuruteraan TUDM, Mejar Jeneral Dato’ (IR) Razali Abd. Ghani TUDM.
LIMA ‘19 akan berlangsung mulai 26 hingga 30 Mac 2019 di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) bagi tapak pameran utama, pertunjukan udara dan pameran statik udara dan Resort World Langkawi sebagai tapak pameran kapal perang, demonstrasi maritim dan pameran statik maritim.