SIBU, 8 Nov – Panglima Briged Ke-31 Infantri Brigedier Jeneral Johnny Lim Eng Seng menyeru setiap pasukan di bawah naungan Briged Ke-31 Infantri agar sentiasa peka dan mengorak langkah bagi memastikan briged tersebut kekal relevan.
Katanya, ini penting bagi memastikan briged tersebut kekal sebagai sebuah ketumbukan yang kompeten sejajar dengan kehendak para pemerintah atasan.
“Menjadi seorang tentera merupakan satu kerjaya yang profesional serta mulia dengan tiada sebarang pelawaan atau paksaan, kerana ia adalah kehendak diri sendiri”, Ucapan beliau ketika berucap pada Perbarisan Ulung Panglima Briged Ke-31 Infantri di Padang Kawad Kem Junaco di sini, pada Rabu.
“Organisasi ketenteraan, latihan dan perjuangan perlu diteruskan demi menggalas segala arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak atasan.
“Inilah keunikan organisasi ketenteraan walaupun menghadapi pelbagai kekangan serta cabaran namun kelangsungan kerja dan tanggungjawab tetap diteruskan.
“Kita harus sentiasa memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi pada bila-bila masa demi keutuhan kedaulatan negara,” jelasnya.
Johnny berkata, hubungan pihak tentera dengan masyarakat tempatan mesti diutamakan bagi mengeratkan lagi silaturahim.
“Slogan ‘Tentera dan Masyarakat Tempatan Berpisah Tiada’ seharusnya disebarkan sehingga ke pelosok kampung dan pedalaman di Sarawak umumnya,” ujarnya.
Katanya Briged Ke-31 Infantri akan memastikan hubungan dengan masyarakat tempatan dipereratkan dan diperkukuhkan dengan mengadakan program jiwa murni dan aktiviti ‘Nation Building’.
“Marilah kita bersama-sama memohon doa agar sentiasa dipermudahkan urusan di sepanjang menjalankan tugas.
“’Be A Good Soldier’, jadilah seorang anggota tentera yang baik,” tegasnya.
Turut hadir Lefternen Kolonel Mohd Zaini Hashim, pengusaha Kem Junaco Park Khiu Siong Hii serta yang lain.