ALOR SETAR, 7 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Pasukan Batalion Ke-2 Rejimen Sempadan (2RS) berjaya menahan seorang ‘tekong darat’ yang cuba menyeludup masuk tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di Pos 4, Bukit Kayu Hitam, dekat Kubang Pasu malam tadi.
Panglima 6 Briged Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata tekong warga Myanmar berumur 27 tahun itu ditahan pukul 11 malam oleh pasukan berkenaan yang mengesan pergerakan orang awam ketika tugasan rondaan dilakukan di kawasan hutan berhampiran.
“Ketika pasukan yang diketuai oleh Koperal Zamri Salim melakukan serbuan, tekong terbabit didapati sedang menunggang motosikal jenis Honda Wave, manakala tujuh PATI termasuk dua wanita berusia 19 hingga 27 tahun berjalan kaki dan mereka gagal melarikan diri.
“Tekong terbabit dipercayai mengambil upah membawa masuk PATI dan mempunyai hubungan dengan sindiket penyeludupan PATI di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Aziz berkata kesemua PATI yang ditahan gagal menunjukkan dokumen perjalanan diri yang sah dan pasukan berkenaan turut bertindak merampas motosikal milik tekong terbabit.
“Turut dirampas wang tunai RM1,072 serta lima telefon bimbit dan kesemua mereka serta barang rampasan telah diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk siasatan lanjut,” katanya. – Bernama