KUALA LUMPUR, 5 Nov – Tan Sri Dr Rais Yatim semalam mempersoalkan tindakan melarang penggunaan pantun dalam majlis rasmi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkongsi sekeping gambar surat pekeliling arahan dalam ATM melalui twitter rasminya.
“Baca surat ini. Takkanlah Melayu dah begitu dhaif budaya sendiri hinggakan nak berpantun pun dihalang.
“Kini tentera tak dibenarkan guna pantun dlm skrip. Dewan Bahasa mu buat apo??? Sasterawan-sasterawan negara, pejuang-pejuang bahasa…tunggu apa lagi?” tulisnya dalam twitter semalam.
Surat bertarikh 2 November lalu tersebut dikeluarkan oleh Markas Angkatan Tentera Malaysia yang ditandatangani Ketua Staf Markas ATM, Datuk Kamalruzaman Mohd Othman memaklumkan keputusan yang dibuat oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin “bahawa tiada lagi penggunaan pantun di dalam skrip juruacara bagi setiap majlis rasmi ketenteraan”.
Sementara ciapan Dr. Rais di Twitter itu menerima pelbagai maklum balas daripada pengikutnya.
Madzam Chot menulis, “ATM dilarang berpantun. Kesimpulan: Tak mustahil Rejimen Askar Melayu (RAMD) akan di bubarkan kerana apa saja berkaitan melayu adalah agenda utama DAP utk di hapuskan”.
Putera Durian menulis, “Atas alasan apakah ?tidaklah ini umpama membunuh budaya sendiri secara halus? Sedangkan sepatutnya digalakkan samada majlis rasmi atau tidak…”
Fairul Amir menulis, “Apa rasionalnya tak boleh berpantun? Negara bukan dalam keadaan huru hara sampai berpantun itu perkara yang tak perlu.”
Afffde menulis, “saya setuju dengan Tan Sri. Belum ada yang terbunuh kalau guna pantun dan tak akan tercela kegagahan tentera disebabkan kelembutan bait pantun.”
Azlim Ibrahim pula menulis, “panglima dan laksamana dulu pun berpantun, carilah pantun panglima, pendekar. Tak kan sebab tentera nak tunjuk tegas, muka ketat dan terjerit-jerit baru ok. Kalau tentera Amerika dan lain memanglah tak tahu pantun.”