ALOR SETAR, 5 Nov – Angkatan Tentera Malaysia menerusi pasukan 2 Rejimen Sempadan (2RS) menahan seorang remaja warga Thailand yang disyaki cuba menyeludup 143kg daun ketum bernilai hampir RM13,000 ke negaranya berhampiran Pos Sahara, Padang Terap, pagi semalam.
Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, remaja lelaki berusia 18 tahun itu ditahan jam 5 pagi ketika membawa beberapa guni putih berisi daun ketum menggunakan motosikal bersama dua lagi rakannya yang menunggang sebuah motosikal lain.
Menurutnya, pasukan itu yang diketuai Koperal Zulkifly Ahmad sedang membuat rondaan sebelum terserempak dengan tiga lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika cuba menahan mereka, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal berjaya melarikan diri ke kawasan semak manakala remaja terbabit yang menunggang bersendirian berjaya ditahan.
“Pemeriksaan lanjut menemui enam guni daun ketum yang siap diikat dan diangkut menggunakan dua motosikal terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Aziz berkata, daun ketum berkenaan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran berikutan harga dan permintaan yang tinggi di Thailand.
“Dua motosikal jenis Honda Wave dan Yamaha Spark turut dirampas sementara remaja terbabit yang juga pembantu kedai makan di Thailand bersama barang yang dirampas kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk tindakan lanjut. – Bernama