Home Semasa Identiti pertama korban nahas Lion Air dikenal pasti

Identiti pertama korban nahas Lion Air dikenal pasti

by Nurulhuda

JAKARTA, 1 Nov – Pihak berkuasa Indonesia mengenal pasti identiti pertama mangsa korban pesawat Lion Air menerusi ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA) ketika operasi pencarian bangkai pesawat itu masih diteruskan setakat ini.

Ketua Pusat Kedokteran Kesehatan, Polis Indonesia (Polri) Brig Jen Dr Arthur Tampi berkata berdasarkan 24 kantung atau bungkusan jenazah yang diterima Rumah Sakit Polis Indonesia (RS Polri) semalam identiti pertama mangsa telah dikenal pasti, dan dimaklumkan kepada keluarganya.

“Semalam kami menerima 24 kantung jenazah yang terdiri daripada anggota dan cebisan mayat, satu daripadanya adalah tangan kanan dengan lima jarinya yang lengkap berserta sebahagian dada dan perut.

“Mangsa telah dikenal pasti sebagai Jannatun Cintya Dewi, berusia 24 tahun, berasal dari Kacamatan Jawa Timur,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata pada hari ini juga RS Polri telah menerima 24 lagi kantung jenazah, dan akan melakukan proses padanan DNA dengan DNA yang diterima daripada keluarga mangsa.

Sementara itu operasi mengesan bangkai dan kotak hitam pesawat yang meliputi radius 15 batu nautika di Perairan Tanjung Karawang itu masih gagal setakat 6 petang waktu Indonesia barat.

Direktur Kesiapsagaan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Didi Hamzar berkata seramai 100 penyelam diarahkan mengesan satu objek yang dipercayai bangkai pesawat itu sejak tengahari tadi, tapi masih gagal setakat ini.

Tengah hari tadi, Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto berkata pasukan pencari dan penyelamat (SAR) telah mengesan satu objek yang dipercayai bangkai pesawat Lion Air.

Hadi berkata pasukan SAR yang menggunakan teknologi sonar itu telah mengesan satu objek di satu koordinat di perairan Tanjung Karawang: “Belum diyakini (bangkai pesawat), saat ini (kami) telah fokus satu titik (koordinat), apa yang diduga (dipercayai) adalah bahagian JT610 (pesawat Lion Air),” katanya.

Operasi pencarian 24 jam itu terdiri daripada anggota tentera, polis dan Basarnas,  menggunakan  35 unit kapal,  tiga helikopter dan tiga pesawat jenis HR-1519, HR-1301 dan CN-235, serta pasukan penyelam.

Operasi pencarian itu turut menggunakan peralatan canggih seperti seperti ‘multibeam Echo Sounder’, ‘Side Scan Sonar’, ‘Magnetometer’ dan ‘Remotely Operated Vehiches’ (ROV) dalam mengesan bangkai pesawat itu.

Penerbangan  JT610 itu membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal itu terhempas selepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi Isnin di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628.

Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada jam 7.10 pagi Isnin waktu Indonesia barat.

Dalam perkembangan berkaitan, pengurusan Lion Air  telah memecat Direktur Teknik Lion Air, Muhammad Asif, berikutan arahan daripada Kementerian Perhubungan Indonesia.

Jurucakap Komunikasi Stategik Korporat Lion Air, Danang Mandala Prihantoro berkata Menteri Perhubungan, Budi Karya Sumada mengarahkan pemecatan itu berkuasa hari ini atas kebertanggungjawabnya berikutan laporan awal menyatakan pesawat itu mengalami masalah teknikal sebelum terhempas.

“Lion Air juga telah memutuskan untuk memberikan wang santunan (wang  pampasan) berjumlah Rp1.2 billion (RM33,000) untuk setiap keluarga penumpang terbabit,” kata Danang Mandala dalam satu kenyataan. – BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!