JAKARTA 31 Okt – Radius operasi pencarian pesawat Lion Air yang memasuki hari ketiga hari ini diperluas bagi mengesan bangkai dan kotak hitam pesawat itu yang terhempas pada Isnin.
Penolong Bidang Operasi dan Kesiapsiagaan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Nugroho Budi Wiryanto berkata operasi kini meliputi lingkungan 15 batu nautika dari koordinat pesawat itu terhempas.
“Hari pertama radius pencarian ialah lima batu nautika, hari kedua 10 batu nautika dan hari ketiga hari ini, 15 batu nautika,” katanya.
Penerbangan JT610 yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal itu terhempas di perairan Tanjung Karawang, tidak lama setelah berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi Isnin.
Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada 7.10 pagi hari sama waktu Indonesia barat.
Operasi pencarian 24 jam yang disertai oleh anggota tentera, polis dan Basarnas itu menggunakan 35 unit kapal, tiga helikopter serta tiga pesawat selain pasukan penyelam. Operasi pencarian turut menggunakan peralatan canggih seperti pemerum gema berbilang alur, sonar dan kenderaan kawalan jauh (ROV) bagi mengesan bangkai pesawat.
Setakat pagi ini, sebanyak 37 beg jenazah yang mengandungi cebisan dan anggota badan yang tidak sempurna dihantar ke Rumah Sakit Polis Indonesia untuk proses pengecaman. – Bernama