KUCHING, 31 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan rampasan barangan seludup dan curi bernilai RM1.5 juta di sekitar Serikin, Bau dekat sini sejak awal tahun ini sehingga Oktober, kata Panglima Tiga Briged, Brig Jen Mohd Bustaman Mat Zin.
Katanya, antara rampasan itu ialah 21 motosikal, 10 kenderaan pelbagai jenis, dua laras senjata api, telefon selular (22), barangan kawalan, iaitu 800 kotak sosej, 39 bungkus milo, 15 papan telur dan 57 guni bawang putih.
“Dengan siapnya pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo kelak, aktiviti penyeludupan lintas sempadan di negeri ini berkemungkinan akan meningkat.
“Saya menyambut baik cadangan Jabatan Kastam untuk membina pos-pos keselamatan dan kawalan ketat di kawasan tertentu bagi memantau aktiviti haram itu,” katanya ketika menyempurnakan perbarisan ulang tahun ke-59 Briged Ketiga Infantri Malaysia yang disertai seramai 28 pegawai dan 380 anggota lain-lain pangkat di sini hari ini.
Bustaman menyeru seluruh warga Tiga Briged untuk bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara dan negeri Sarawak. – Bernama