Bekas Menteri Pertahananan itu berkata, jika benar beliau dikaitkan dengan apa-apa kesalahan rasuah, sudah tentu pihak SPRM akan melakukan siasatan dan mendakwanya.

“Apa yang SPRM ada terhadap saya? saya tak lakukan rasuah, jika ada dakwaan nak siasat SPRM sampai hari ini tak ada panggil saya.

“Saya dalam hal ini (rasuah) tak terlibat, kalau orang nak cakap saya takut dengan SPRM biar SPRM sendiri dedahkan (kes rasuah),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Hishammuddin ditanya mengenai cakap-cakap bahawa usahanya membantu Putrajaya mengesan Jho Low bertujuan untuk tidak dikenakan sebarang tindakan siasatan SPRM.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dirinya adalah antara 40 nama Anggota Parlimen UMNO yang dikatakan akan melompat parti untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya dah nyatakan beberapa kali saya tak akan keluar parti, orang putih kata action speaks louder than words… mana ada saya keluar parti,” katanya.

Sementara itu, menyentuh tentang pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat ini, Hishammuddin berharap Kementerian Pertahanan di bawah kerajaan baharu dapat meneruskan aspek keprihatinan dan kebajikan yang dilakukan kerajaan terdahulu. – Bernama