JAKARTA, 30 Okt – Operasi mencari pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Tanjung Karawang diteruskan selama 24 jam dan pasukan mencari dan menyelamat telah menemui sembilan mayat, setakat malam tadi.
Presiden Indonesia, Joko Widodo dipetik media Indonesia, telah mengarahkan operasi mencari pesawat itu dilakukan 24 jam.
“Saya perintahkan malam ini juga tetap bekerja 24 jam menggunakan lampu untuk mempercepatkan pencarian, terutama badan pesawat,” katanya seperti dipetik dalam laporan media Indonesia malam tadi.
Pengarah Operasi Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Bambang Suryo Aji berkata, operasi mencari bangkai pesawat itu ketika ini melibatkan pasukan tentera, polis dan Basarnas, menggunakan 14 kapal peronda dan dua helikopter.
“Setakat 8.30 malam waktu Indonesia barat, operasi menyelam telah dihentikan, namun operasi mencari pesawat akan diteruskan 24 jam. Operasi 24 jam itu akan dilakukan selama tujuh hari di perairan itu,” katanya.
Beliau berkata, setakat 8.30 malam tadi, sebanyak sembilan mayat telah ditemukan pasukan mencari dan menyelamat dan dihantar ke hospital untuk tujuan mengenal pasti identiti.
“Dalam operasi mencari hari ini, pasukan mencari dan menyelamat turut menemui beberapa serpihan dipercayai milik pesawat itu dan barang-barang milik penumpang pesawat berkenaan,” katanya. – BERNAMA