SANDAKAN, 30 Okt – Latihan Perang Borneo (PB) 4/18 melibatkan aset-aset armada dan unit-unit di bawah Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) dilaksanakan dengan jayanya bagi menguji kesiapsiagaan dan keupayaan.
Latihan yang bermula dari 25 hingga 26 Oktober lepas telah dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa Pelabuhan dilaksanakan di MAWILLA 2, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Fasa Laut dilaksanakan di perairan Sandakan.
Latihan dua hari itu merupakan satu pendekatan dinamik yang membolehkan MAWILLA 2 menilai kesiapsiagaan dan keupayaan tempur armada serta unit-unit sokongan di bawah naungannya.
Ia juga dilihat sebagai salah satu penanda aras yang digunakan dalam melipatgandakan tahap kesiapsiagaan, kecekapan, dan profesionalisme warga dan aset-aset di bawah naungan MAWILLA 2.
Latihan telah dimulakan dengan pelaksanaan Fasa Pelabuhan iaitu Latihan Pertahanan Pangkalan yang melibatkan semua unit yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Sandakan serta kapal-kapal yang berlabuh di Tambatan Pangkalan Sandakan (TPS).
Simulasi situasi pelbagai ancaman diwujudkan untuk menguji keupayaan semua unit dan aset menangani setiap satu ancaman sama ada atas atau bawah permukaan air.
Latihan secara tidak langsung dapat meningkatkan interoperabiliti unit dan warga MAWILLA 2 dalam menghadapi sebarang kemungkinan serta menguji prosedur tetap yang sedia ada.
Bagi Fasa Laut, Elemen Tugas (Task Element) terdiri daripada enam kapal terlibat iaitu KA Bunga Mas 5, KD Pari, KD Sri Tiga, KD Sri Gaya, KD Sri Johor dan KD Sri Perlis.
Panglima Wilayah Laut 2 (PANGWILLA 2) Laksamana Muda Dato’ Ganesh Navaratnam telah berada di KD Pari untuk menilai keupayaan 3P (People, Process & Platform) aset-aset MAWILLA 2.
Elemen Tugas telah belayar keluar ke kawasan latihan dalam keadaan bertindak pada awal pagi sebelum matahari terbit dan kembali selepas matahari terbenam.
Bagi fasa itu, kapal-kapal yang terlibat telah diuji dengan beberapa siri latihan seperti melalui kawasan periuk api, ilmu kelautan, persenjataan, komunikasi, taktik peperangan dan kecemasan.
Latihan itu bertujuan menguji tahap kewaspadaan dan kesiapsiagaan kru bagi menghadapi sebarang situasi ancaman dan kecemasan.
Kejayaan pelaksanaan Latihan PB 4/18 membuktikan kemampuan MAWILLA 2 khususnya aset-aset armada TLDM untuk memenuhi sebarang keperluan operasi di Kawasan Operasi Maritim (KOM) Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang mudah terdedah kepada ancaman seperti jenayah rentas sempadan.
Secara tidak langsung, pelaksanaan latihan juga akan memberikan impak yang sangat positif kepada komuniti maritim di pantai timur Sabah, khususnya keyakinan terhadap kemampuan dan komitmen TLDM amnya serta MAWILLA 2 khasnya dalam mengekalkan kestabilan dan keselamatan perairan setempat.
Latihan PB 4/18 juga telah berjaya menguji kesiapsiagaan operasi aset armada di MAWILLA 2 di samping mempertingkatkan kemahiran dan kompetensi warga kapal dalam menangani situasi konflik di laut dan memperkasakan ilmu peperangan maritim.
Penglibatan enam kapal TLDM dari pelbagai kelas juga bertujuan menunjukkan kehadiran serta mempamerkan kemampuan TLDM untuk beroperasi di laut di samping menyampaikan mesej kepada masyarakat dan komuniti maritim di perairan pantai timur Sabah bahawa TLDM sentiasa bersedia memberikan perlindungan keselamatan bagi menjamin kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.