KUALA LUMPUR, 29 Okt – Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) yang sedang dibina di Presint 1, Putrajaya dijangka mula beroperasi Jun tahun depan, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
Beliau berkata PUSPAHANAS akan menempatkan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT), Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT), Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) serta sebuah maktab baharu, Maktab Pertahanan Nasional (NDC) di bawah satu bumbung.
“Kursus yang pertama akan dimulakan pada September tahun depan selepas proses perpindahan secara berperingkat dimulakan pada Jun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas dimasyhurkan sebagai ahli ke-10 ‘Hall of Fame’ di MPAT di sini, hari ini.
Pengisytiharan itu disempurnakan Komandan MPAT Datuk Sabri Zali yang turut menyerahkan cenderamata sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan kepada Zulkifli.
Pemindahan ketiga-tiga maktab itu yang kini beroperasi di Jalan Padang Tembak di sini, bagi menyediakan ruang pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar maktab berkenaan.
NDC pula, kata Zulkifli, hanya akan menyediakan kursus berkaitan perkara-perkara strategik dan pertahanan nasional kepada pegawai ATM yang berpangkat Kolonel dan Brigadier Jeneral.
Dalam pada itu, Zulkifli, 60, berkata beliau bersyukur kerana diterima sebagai ahli Hall of Fame yang ke-10 dan pemasyhuran itu adalah satu pengiktirafan kepada dirinya.
“Saya berjanji bahawa saya akan terus menyumbang kepada pembangunan MPAT,” katanya.
Hall of Fame adalah penganugerahan tanda penghormatan tertinggi kepada alumni MPAT yang masih berkhidmat serta memegang jawatan tertinggi dalam perkhidmatan.
Sebelum ini, sembilan personaliti yang terdiri daripada alumni maktab yang menjawat jawatan tertinggi dalam perkhidmatan masing-masing telah dimasyurkan sebagai ahli Hall of Fame MPAT.
Ditanya mengenai harapan pada Belanjawan 2019, Zulkifli berkata beberapa siri perbincangan telah dilakukan dan beliau percaya ATM akan menerima berita baik pada pembentangan belanjawan itu nanti.
“Semua kementerian dan pasukan memohon satu bajet yang baik namun kita memahami kekangan ekonomi negara.
“Saya yakin keputusan kerajaan untuk memberi lokasi pertahanan atau bajet pertahanan adalah sesuatu yang realistik supaya kita dapat melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan selain berupaya untuk tujuan penyelenggaraan peralatan tentera,” katanya.
Belanjawan itu yang pertama untuk kerajaan Pakatan Harapan dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Nov ini. – Bernama