Home Pertahanan dan Keselamatan Eksesais Aman Youyi 2018 berjaya capai objektif

Eksesais Aman Youyi 2018 berjaya capai objektif

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 29 Okt – Eksesais Aman Youyi 2018 mencapai objektif yang diharapkan dengan melihat hasil daripada pelaksanaan latihan Staff Exercise (Staffex), Cross/Lane Training serta Maritime Exercise, kata Panglima Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysa (ATM), Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Syed Osman.

Beliau berkata secara keseluruhannya eksesais ini berjaya melatih ketumbukan ketenteraan negara yang terlibat iaitu China, Thailand dan Malaysia agar dapat memperkukuhkan kerjasama, saling khidmat dan kesepakatan dalam menangani isu keselamatan serantau.

“Antara objektif penganjuran eksesais ini adalah meningkatkan interoperability dan kefahaman prosedur operasi gabungan ketenteraan antara tiga negara. Ia juga berjaya mempertingkat perkongsian pengalaman dan pengetahuan antara para peserta dalam Operasi Pengaman dan Operasi Penguatkuasaan Perdamaian kalangan pegawai tentera negara terlibat.

“Saya yakin bahawa latihan tahun ini benar-benar melambangkan konsep kerja berpasukan, kerana ia memerlukan usaha pasukan untuk membuat latihan yang berharga ini beroleh kejayaan. Secara relatifnya, cabaran keselamatan yang kita hadapi secara global hari ini memerlukan usaha berpasukan,” katanya pada majlis penutup Eksesais Aman Youyi 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Director of Strategic and Campaign Training Bureau of Central Military Commission (CMC) People’s Liberation Army (PLA) dari China Mejar Jen Li Weiya dan Director of Joint Operation and Combined Exercise Planning Office Directorate of Joint Operation Royal Thai Armed Forces (RTARF) Mejar Jen Suthon Hmuanpitak.

Eksesais Aman Youyi 2018 yang bermula 22 Okt lepas dan berakhir hari ini merupakan eksesais gabungan multilateral dwitahunan melibatkan ATM dengan People’s Liberation Army (PLA) dari China dan Angkatan Tentera Diraja Thai (RTARF).

Eksesais ini dilaksanakan di sekitar Port Dickson, manakala segmen maritim di sekitar perairan Pelabuhan Klang dan Selat Melaka.

Sebelum ini pada tahun 2014 dan 2015, eksesais ini dikenali sebagai Ekesais Keamanan dan Persahabatan iaitu bilateral eksesais Malaysia dan China.

Pada tahun 2016, RTARF mengambil bahagian dalam latihan sebagai pemerhati dan eksesais ini dinamakan Eksesais Aman Youyi.

Pada tahun ini dengan penyertaan RTARF buat pertama kalinya sebagai negara peserta maka ia telah menukar taraf bilateral kepada multilateral.

Latihan Staff Exercise (Staffex) bagi eksesais ini memaparkan Operasi Pengaman dan Operasi Penguatkuasaan Perdamaian sebagai tema utama eksesais.

Latihan Cross/Lane Training yang turut terkandung dalam eksesais ini adalah seperti pengesanan kombat, sniper dan senjata kecil, seni bela diri, ikhtiar hidup dan pertempuran jarak dekat.

ATM yang amat terkenal dengan kepakaran dalam peperangan di hutan berkongsi ilmu dengan peserta Thailand dan China, manakala RTARF pula berkongsi ilmu dalam teknik, prosedur, kaedah pengiring rapat VIP dan demonstrasi menyelamat tebusan.

PLA-Navy dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga terlibat dalam beberapa latihan kapal ke kapal dalam fasa latihan di laut (Maritime Exercise-Marex).

Selain itu aktiviti sukan dan acara kebudayaan turut diadakan sebagai acara sampingan bagi mengeratkan hubungan antara peserta.

Seramai 1,339 anggota dan pegawai terlibat secara keseluruhannya dalam eksesais kali ini.

ATM menghantar menghantar 585 anggota termasuk dua buah kapal TLDM (KD Lekiu dan KD Kasturi) dan helikopter Super Lynx, RTARF menghantar 54 anggota manakala PLA melibatkan seramai 693 anggota termasuk dua buah kapal PLA-Navy (sebuah kapal pemusnah CNS Wuhan dan sebuah frigate CNS Yun Cheng yang membawa dua buah helikopter Z9). Tiada penglibatan aset tentera udara daripada ketiga-tiga negara. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!