Home Pertahanan dan Keselamatan Persediaan Buka Pintu Sempadan 24 Jam: Imigresen bekerjasama dengan PDRM, AKSEM, KDM dan Maritim

Persediaan Buka Pintu Sempadan 24 Jam: Imigresen bekerjasama dengan PDRM, AKSEM, KDM dan Maritim

by Nurulhuda

TAIPING, 28 Okt – Jabatan Imigresen akan bekerjasama dengan beberapa agensi penguatkuasa sebagai persediaan awal sebelum pembukaan pintu sempadan 24 jam antara Malaysia dan Thailand, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata antara agensi penguatkuasa itu ialah Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) serta tentera.

Walaupun pembukaan pintu sempadan 24 jam itu masih cadangan awal, namun kesiapsiagaan perlu dalam memastikan tindakan bersepadu dapat dilaksanakan apabila ia direalisasikan lebih-lebih lagi pihaknya mempunyai kekangan anggota.

“Pintu sempadan negara bukan di Kelantan sahaja, tetapi di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Padang Besar, Perlis yang boleh kita kawal.

“Kita bukan sahaja mengawal di kaunter tetapi ruang pembolosan seperti di lorong-lorong tikus yang memerlukan tindakan secara berpasukan untuk membanteras penyeludupan secara haram,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Kursus Pasukan Kawalan Khas membabitkan 31 Pegawai Imigresen di Pusat Latihan Pegawai Penjara (PULAPEN) di sini, pada Sabtu.

Mustafar mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang mahu kerajaan Persekutuan mengkaji implikasi ke atas negeri itu jika pembukaan sempadan 24 jam dilaksanakan.

Rabu lepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melawat Thailand berkata kedua-dua negara bersetuju untuk membuka pintu sempadan 24 jam sehari bagi menggalakkan perdagangan bersama.

Perdana Menteri berkata langkah itu termasuk membina dua jambatan merentasi Tak Bai di Pengkalan Kubor dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan.

Dalam pada itu, Mustafar berkata pihaknya mempunyai kira-kira 400 anggota Pasukan Kawalan Khas (PKK) yang bertugas di 13 depoh tahanan seluruh negara yang berperanan mengawal sebarang rusuhan sebelum tiba bantuan polis. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!