KOTA BHARU, 28 Okt – Penyertaan bekas Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed ke dalam Bersatu memberi suntikan moral kepada parti itu dan PH, kata Ketua Penerangannya, Mohd Radzi Md Jidin.
Mohd Radzi, yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, keputusan yang dibuat ahli Parlimen Jeli yang juga Adun Air Lanas itu diyakini akan memperkukuhkan lagi Bersatu terutama di Kelantan.
“Beliau yang merupakan ‘panglima’ Umno Kelantan dan sekarang bersama kita. Dengan ‘track record’ cemerlang dan sumbangan besar beliau kepada negara dan Kelantan, saya yakin lebih ramai lagi kepimpinan bahagian (Umno) akan menurut jejak langkah beliau sekaligus melonjakkan Kelantan,” katanya kepada pemberita di Majlis Perjumpaan Khas Bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan Kelantan di sini, hari ini.
Majlis perjumpaan itu bagi mengeratkan hubungan, menyampaikan hasrat kerajaan selain memberi penekanan tentang kecekapan, ketelusan dan reformasi institusi berdasarkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
Mohd Radzi berkata, keputusan yang dibuat bekas Merteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu sekaligus menjadikan Pakatan Harapan mempunyai wakil di Dun Kelantan.
“Sekarang sekurang-kurangnya kita ada seorang wakil di Dun Kelantan. Mungkin selepas ada dua tiga lagi wakil lain, sebab dalam politik siapa tahu,” katanya.
Di Pasir Puteh, Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, beliau akan menjemput Mustapa untuk menyertai mesyuarat bersama parti itu dalam masa terdekat walaupun tokoh berkenaan tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Bersatu.
Beliau berkata, kehadiran Mustapa akan memberi sumbangan ke arah memantapkan parti itu di Kelantan berikutan pengalaman luas Mustapa di Kelantan sejak sekian lama.
“Mustapa mempunyai pengalaman yang luas di dalam dan luar negara dan beliau merupakan aset yang sangat berguna kepada rakyat Kelantan untuk terus maju ke hadapan bersama-sama rakyat negeri-negeri lain,” katanya. – Bernama