KUALA LUMPUR, 28 Okt – Belum pun bermula, pemilihan PKR di cabang Pandan sedikit panas apabila pengundi mula berang kerana pusat pengundian lambat dibuka pagi ini.
Pengundi yang tiba sejak jam 9 pagi terpaksa menunggu kira-kira hampir dua jam apabila pusat pengundian di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Taman Chempaka hanya dibuka pada jam 10.40 pagi.
Difahamkan proses pengundian tertangguh akibat ketiadaan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi mengawal keselamatan pusat berkenaan.
Sebelum itu, pengundi mula menjerit apabila mereka terpaksa berhimpit di luar pagar dengan ada antara mereka menyatakan telah menunggu lama kerana ada banyak urusan harian yang perlu diselesaikan.
Calon Timbalan Presiden Mohd Rafizi Ramli yang tiba pada pukul 10 pagi juga terpaksa menunggu untuk mengundi di cabang berkenaan.
Sementara itu di cabang Ampang, pengundian hanya bermula jam 10.50 pagi akibat masalah teknikal.
Calon Ketua Cabang yang juga calon Naib Presiden Zuraida Kamaruddin yang tiba pada jam 9 pagi di pusat pengundian bertindak memberi panduan kepada pengundi agar pengundian berjalan lancar.
Fasa ketiga pengundian di negeri Selangor hari ini melibatkan enam cabang iaitu Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat. – Bernama