MIRI, 27 Okt – Setiap anggota tentera adalah elemen yang penting dalam pertahanan negara dan pengorbanan mereka merupakan satu tugas mulia dalam mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara.
Panglima Tentera Darat Malaysia Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata amanah yang diberikan kepada pasukan tentera amat berat dan hanya dengan berlatih mereka mampu melaksanakan tugas tersebut.
“Pada kami, latihan merupakan kebajikan sebab tanpa latihan sudah tentu kami tidak peka dengan apa yang perlu dilaksanakan.
“Kadang-kadang kami kurang memberi penekanan kepada perkara asas dan inilah dia yang kami laksanakan kerana dalam setiap latihan sudah semestinya ada kekuatan dan kelemahan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Eksesais Malbru Setia Siri 14/2018 yang berlangsung di Ladang Gelasah Niah semalam.
Hadir sama Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Awang Khairul Hamed Awang Lampoh, Panglima Medan Timur (PMT) Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw, Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Toh Choon Siang dan Panglima 9 Briged Brigedier Jeneral Shamsirudin Mohd Shariff.
Menyentuh tentang eksesais itu, Hasbullah berkata jelas dengan sikap dan latihan yang telah ditunjukkan oleh anggota ini membuktikan bahawa Tentera Darat Malaysia dan Tentera Darat Diraja Brunei sentiasa peka dengan keperluan latihan.
“Apa yang dipamerkan semasa latihan ini adalah peralatan-peralatan yang sedia ada, kami tidak reka-reka, apa yang sedia ada sekiranya terjadi apa-apa kecemasan, inilah peralatan yang kami bawa.
“Justeru saya meminta daripada kedua-dua pihak tentera supaya mereka mahir dengan apa yang diberikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pihak TDM sudah bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
“Persiapan untuk banjir adalah salah satu elemen yang kami titikberatkan kerana banjir merupakan satu malapetaka yang menimpa Semenanjung Malaysia atau Sabah dan Sarawak dari tahun ke tahun berikutan ketidaktentuan cuaca dan sebagainya.
“Saya berpuas hati dengan persiapan yang telah dibuat oleh panglima-panglima saya dari segi latihan dan juga untuk menghadapi banjir dan telah bersedia untuk dikerahkan bila-bila masa,” katanya sambil menegaskan bahawa tumpuan mereka adalah untuk menyelamatkan nyawa, bukan harta benda.