SUNGAI UDANG, 27 Okt – Seramai lima pegawai dan 71 anggota lain-lain pangkat (LLP) Tentera Darat berjaya menamatkan Kursus Asas Komando hari ini setelah melalui pelbagai cabaran serta pelbagai peringkat latihan sejak tiga bulan lalu.
Kesemua mereka telah dianugerahkan Beret Hijau, Dagger Komando dan sijil bagi melayakkan mereka memakai Beret Hijau Gerak Khas.
Pelaksanaan kursus ini adalah untuk memilih pegawai dan anggota LLP Tentera Darat yang betul-betul layak berkhidmat dalam Grup Gerak Khas (GGK).
GGK merupakan pasukan elit dalam Tentera Darat yang merupakan lambang keagungan, keperwiraan serta satu lambang mutu keperibadian yang tinggi untuk sesiapa yang memakainya.
Manakala kursus ini telah berlangsung selama tiga bulan dan dipecahkan kepada lima peringkat yang merangkumi kem, hutan, paya, laut dan penutup.
Majlis Perbarisan Tamat Kursus Asas Komando ini telah disempurnakan oleh, Ketua Staf AM 21 GGK Brig Jen Datuk Jamaluddin Jambi bertempat di Betutu Laut, Kem Sungai Udang di sini hari ini.
Brig Jen Datuk Jamaluddin Jambi dalam ucapannya berkata seorang anggota beret hijau adalah wira yang sentiasa berdisplin tinggi, patuh dan taat kepada arahan-arahan dan peraturan ketenteraan serta sentiasa memegang teguh kepada sumpah perajurit komando.
Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penuntut yang telah berjaya mengharungi dengan jayanya di samping menunjukkan kemampuan dan semangat waja yang diperlukan sebagai seorang anggota pasukan khusus.
Turut hadir Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kolonel Adi Ridzwan Abdullah dan pegawai-pegawai, Pegawai Pemerintah Rejimen 21 GGK Kolonel Mohd Fauzi Sulaiman dan veteran GGK serta keluarga penuntut kursus.
Pada majlis penutup itu, Prebet Mohd Khairul Azmizan Abdullah dari Batalion Ketiga Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dianugerahkan penuntut terbaik Kursus Asas Komando Siri AK/2/2018.