Home Semasa SPRM tahan seorang pegawai kanan polis

SPRM tahan seorang pegawai kanan polis

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan polis bergelar ‘Datuk’ bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah berjumlah lebih RM100,000.

Pegawai kanan berusia 56 tahun berpangkat SAC itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada kira-kira pukul 7 malam tadi.

Difahamkan, pegawai itu yang juga bekas pengarah jabatan di Bukit Aman disyaki meminta dan menerima wang rasuah berkenaan antara Ogos 2017 dan Ogos tahun ini.

Pegawai itu disyaki meminta dan menerima wang itu sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap seorang koperal polis yang mengambil upah dalam urusan pengurangan saman di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Beliau ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a), Akta SPRM 2009 dan permohonan reman ke atasnya akan dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan mengenai penahanan itu.

“Ya saya sahkan memang semalam SPRM telah menahan seorang pegawai kanan polis bergelar Datuk,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!