Home Semasa “Derma RM 2.6b tiada kaitan dengan kami” – Menteri Luar Arab Saudi

“Derma RM 2.6b tiada kaitan dengan kami” – Menteri Luar Arab Saudi

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Menteri Luar Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir menyatakan wang derma  sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah selepas menerima kunjungan Adel di Wisma Putra di sini hari ini.

Agensi Bernama memetik kenyataan Saifuddin yang berkata, “beliau (Adel) menyatakan bahawa (derma RM2.6 bilion) tidak ada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi.”

Menurutnya, ketika mereka bertemu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-73 di New York pada bulan lepas, Adel memberitahunya bahawa kerajaan Arab Saudi akan bekerjasama dalam siasatan 1MDB dan tiada kaitan dengan derma RM2.6 bilion.

Menteri Luar Negeri, Dato’ Saifuddin Abdullah menerima kunjungan rakan sejawatannya dari Arab Saudi , Adel bin Ahmed Al-Jubeir.
Foto: Kementerian Luar Negeri Arab Saudi

“Hari ini ulangi sekali lagi bahawa itu tiada kaitan dengan Arab Saudi,” katanya kepada pemberita selepas turut hadir pada kunjungan hormat Adel terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Perdana Putra di sini.

“Tidak Periksa Sumber”

Sementara itu, Datuk Seri Najib Razak mengakui tidak memeriksa dari mana sumber atau pemilik wang berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Sebaliknya, beliau itu hanya mengagak sumbangan itu daripada Arab Saudi selepas Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud pernah memberi jaminan akan menyokongnya.

Perkara tersebut didedahkan oleh beliau dalam wawancara 101 East yang disiarkan oleh Al Jazeera pada hari ini.

“Persoalannya ialah apabila saya menerima dana itu, saya sedar sumber wang itu… atau adakah sumber wang itu, ada perselisihan siapa yang memiliki dana itu, pastinya dalam kapasiti saya, saya tidak mempunyai akses untuk mengetahuinya daripada bank.

“Oleh kerana sesiapa yang memiliki dana itu dilindungi oleh undang-undang kerahsiaan perbankan, maka apabila saya menerima dana, secara jujur saya kira itu adalah sumbangan yang ikhlas dan pada saat itu, berdasarkan apa yang saya tahu berpandukan perbualan dengan Raja Abdullah,” katanya dalam satu wawancara bersama program 101 East menerusi Aljazeera, hari ini.

Dalam wawancara tersebut, ditunjukkan laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang menunjukkan jelas aliran wang itu dan beliau mempunyai kuasa sebagai Perdana Menteri waktu itu, Najib berkata beliau tidak dapat menjelaskannya kerana tidak mengetahuinya pada masa itu.

“Ya, tapi Perdana Menteri tidak mempunyai akses kepada maklumat perbankan,” katanya.

Najib turut menggesa supaya pasukan penyiasat supaya memanggil dan menyiasat figura antarabangsa yang didakwanya turut terbabit dalam penyelewengan dana 1MDB dan bukan setakat menyiasat Low Taek Jho atau Jho Low saja.

Katanya, figura antarabangsa terbabit juga perlu disoal siasat bagi mengetahui ke mana wang berkenaan lenyap.

“Baiklah, mereka melakukan kerja mereka tetapi jangan siasat Jho Low saja. Dapatkan orang lain juga kerana ada tokoh antarabangsa lain yang mungkin terbabit. Mereka juga mesti disiasat.

“Kita hendak tahu di mana wang itu mengalir. Dan yang benar-benar mendapat manfaat daripada keseluruhan 1MDB. Saya juga ingin tahu,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!