Home Semasa Polis nasihat persatuan pemandu teksi tidak timbulkan kekecohan di MYCC

Polis nasihat persatuan pemandu teksi tidak timbulkan kekecohan di MYCC

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Persatuan pemandu teksi diingatkan supaya tidak melakukan kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam semasa mengadakan perjumpaan di pejabat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) di sini, pagi ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pihaknya menerima maklumat mengenai perjumpaan itu yang dikatakan bagi tujuan membincangkan isu perkhidmatan e-teksi seperti Grab pada pukul 11 pagi.

“Sebelum ini, kumpulan ini pernah merancang untuk mengadakan perhimpunan di Parlimen pada hari Rabu lepas untuk membantah perkhidmatan Grab dan lain-lain isu tetapi dibatalkan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Mazlan berkata pihaknya bersiap sedia dan akan mengatur tugas-tugas kawalan keselamatan serta lalulintas di kawasan yang terbabit.

“Polis Kuala Lumpur juga menasihati agar mereka ini tidak membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam, ancaman keselamatan serta menghalang lalulintas. Polis akan megambil tindakan tegas jika perkara-perkara yang dinyatakan berlaku,” katanya.

Ahad lepas, majlis perjumpaan Dr Mahathir bersama persatuan pemandu teksi di Langkawi menjadi kecoh seketika apabila beberapa orang anggota persatuan bertindak keluar majlis dan berteriak kerana tidak setuju dengan pandangan beliau berhubung perkhidmatan Grab. – BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!