Home Politik Kehadiran Rendah: Speaker Dewan Rakyat digesa cari jalan ‘disiplinkan’ MP

Kehadiran Rendah: Speaker Dewan Rakyat digesa cari jalan ‘disiplinkan’ MP

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Isu kehadiran anggota Parlimen (MP) ke mesyuarat Dewan Rakyat sekali lagi dibangkitkan malam tadi apabila seorang anggota Parlimen mengadu ramai MP dari kedua-dua belah gagal hadir ke sesi perbahasan meskipun isu yang dibincangkan berkepentingan nasional.

Awang Hashim (PAS-Pendang) menarik perhatian bahawa kehadiran pada sesi petang persidangan semalam amat rendah, iaitu tidak lebih 20 peratus.

“Saya mengira dari pukul 4 petang hingga sekarang (7.30 malam) paling ramai hanya 38 orang sahaja (berada di dalam dewan) daripada 222 anggota Parlimen,” katanya semasa memulakan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat, malam tadi.

“Perkara itu perlu dititikberatkan jika semua pihak serius untuk membuat perubahan terhadap institusi Parlimen,” katanya.

Beliau turut menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya mengambil serius keadaan itu dan mencari kaedah untuk mencegahnya.

“Kita cari satu kaedah supaya mereka (MP) merasa bertanggungjawab. Yang tak mai, dapat elaun serupa, yang mai sat, balik, elaun serupa, yang macam kita duduk dari pagi sampai malam, pun elaun serupa. Kita lanjutkan (waktu persidangan) supaya beri tumpuan kepada kerajaan. Parlimen (patut) cari kaedah yang sesuai supaya kita disiplinkan anggota Parlimen termasuk menteri,” katanya. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!