Home Semasa APM siap siaga hadapi musim banjir

APM siap siaga hadapi musim banjir

by Nurulhuda

KUANTAN, 23 Okt – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini dalam proses mengagihkan 200 buah bot baharu jenis aluminium dan getah kepada negeri-negeri bagi menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM Sukiman Ahmad berkata peruntukan bagi setiap negeri adalah bergantung kepada keperluan negeri berkenaan.

“Kita akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) dalam operasi berkaitan banjir yang ditambah baik dari semasa ke semasa bergantung kepada pengalaman dan keperluan situasi.

“Secara purata, terdapat 300 anggota dan pegawai APM akan ditempatkan di setiap daerah yang akan dibahagikan kepada tiga syif setiap hari bagi membantu operasi banjir,” katanya.

Sukiman berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan APM Pahang dan penyerahan 20 buah bot baharu kepada APM Pahang yang diwakili Pengarahnya Zainal Yusoff di ibu pejabat APM Pahang di sini, hari ini.

Mengulas mengenai persediaan APM Pahang, Sukiman berkata penyerahan bot baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan aset yang dimiliki meningkat kepada 105 buah bot selain 15 buah lori, ambulans (16), kenderaan pacuan empat roda (17) dan jentera menyelamat (3)

“Selain itu kita juga menempatkan dua daripada 29 buah bot dwifungsi di Pahang.

“APM juga bersedia untuk menghantar aset bantuan dari negeri lain ke Pahang jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian,” katanya.

Sukiman menambah pihaknya juga akan membekukan cuti semua pegawai dan anggotanya di Pahang bermula 15 Nov depan sehingga pertengahan Januari 2019 sebagai persediaan menghadapi banjir.  – BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!