KUALA LUMPUR, 22 Okt – Bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein secara peribadi sedia membantu mengesan ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low bagi menyelesaikan isu berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Anggota Parlimen Sembrong itu berkata beliau akan menggunakan hubungan baiknya dengan pemimpin China untuk membawa pulang Jho Low yang berkemungkinan berada di negara republik itu untuk berdepan muka pengadilan.
“Saya rasa rakyat mahukan kebenaran dan untuk mendapatkannya, kita mesti bawa Jho Low ke muka keadilan. Tiada kaitan dengan kita ini pembangkang atau kerajaan. Ini adalah soal keadilan kita mahu keadilan dalam isu 1MDB, Jho Low merupakan individual yang amat kritikal,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Ditanya bilakah pertemuan dengan pemimpin China akan dilakukan, Hishammuddin berkata: “Secepatnya. Saya telahpun mengusahakan perkara itu.”
Hishammuddin turut menegaskan bahawa rancangan tersebut bukan atas permintaan Putrajaya seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Tiada permintaan daripada Putrajaya untuk saya bantu berhubung dengan negara China tetapi secara peribadi saya mahu melihat isu 1MDB ini dapat diselesaikan, kita perlu mendapat keadilan dan kita mahu tahu hujung pangkalnya,” katanya.
Sebelum ini, beberapa media tempatan dan antarabangsa melaporkan Jho Low berkemungkinan berada di China, selain Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut dilaporkan berkata, Malaysia sedang mengatur ‘usaha persendirian’ bagi membawa pulang ahli perniagaan itu dari negara berkenaan.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berikrar akan mencari dan membawa pulang Jho Low walaupun tidak diminta oleh kerajaan kerana perkara itu tidak ada kaitan dengan statusnya sebagai pembangkang atau sebaliknya.
“Saya tak terikat dengan mana-mana pihak, ini atas kapasiti peribadi kerana daripada dulu lagi saya nak tahu hujung pangkal, kebenaran dan penyelesaian kes 1MDB,” katanya.
Ditanya sama ada beliau tahu mengenai lokasi Jho Low ketika ini, Hishammuddin berkata, akan menghubungi rakan dan kepemimpinan China bagi mengesahkan lokasi ahli perniagaan itu.
“Saya perlu ke sana. Saya perlu bertanya dengan kepemimpinan China sama ada khabar angin itu benar atau tidak dan jika benar, saya perlu tahu mengapa mereka ‘menyimpannya’,” katanya.