Home PolitikBarisan Nasional Mat Sabu ‘dikepung’ lagi di Singapura

Mat Sabu ‘dikepung’ lagi di Singapura

by Nurulhuda

SINGAPURA, 21 Okt – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ‘dikepung’ lagi di Singapura. Kali ini di Restoran Al Jasra, Changi Rd.

Kejadian berlaku ketika Mohamad singgah di restoran itu semalam selepas temu bual di Changi Naval Base sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Mohamad berada di sini selama tiga hari sejak 18 Oktober dalam rangka lawatan pengenalan diri  ke republik ini.

Beliau juga menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) ke-12 dan ADMM-Plus ke-5 yang dihoskan Singapura selama dua hari hingga 20 Oktober.

Menteri itu pernah ‘dikepung’ pada Jun lalu di Singapura ketika singgah di Masjid Sultan untuk menunaikan solat Jumaat.

Beliau turut ‘dikepung’ oleh pekerja-pekerja hotel termasuk Chef tempat beliau menginap ketika di republik itu.

Semalam, beliau tidak ‘dilepaskan’ sekali lagi untuk beberapa ketika oleh orang awam.

Ia memberi sedikit tekanan dan kegelisahan di wajah pegawai pengiring Singapura yang bertugas menjaga keselamatannya.

Rata-rata pengunjung di restoran itu mengenali Mohamad dan ‘mengepung’ beliau bertujuan hanya untuk berswafoto bersama seorang daripada pemimpin utama PH itu.

Mohamad seperti biasa tidak menolak dan bersalaman bersama orang awam yang menyapanya.

Ketika melintas jalan, seorang pemandu van tergesa-gesa menurunkan cermin tingkap dan memanggil “YB Mat Sabuu.!”

Mohamad dengan bersahaja menyahut “Ya.. Dari mana..?” Dan dijawab pemandu tersebut “Dari Penang…”

Walaupun berjaga-jaga, pegawai keselamatan Singapura tetap memberi ruang untuk orang awam mendekati Mohamad.

Mereka tetap mengiringi Mohamad walaupun ketika beliau memilih lauk dan membasuh tangan di sinki.

Mungkin sedikit berlainan bagi mereka ‘mengiringi’ pemimpin bernama Mohamad Sabu ini kerana beliau tidak kekok untuk makan bukan di restoran lima bintang dan bertemu orang awam tanpa protokol. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!