ALOR SETAR, 21 Okt – Tindakan pantas pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba melarikan diri di kawasan kebun getah sebaik menyusup masuk ke negara ini berhampiran Pos Sahara, Durian Burung, dekat Padang Terap di sini pagi semalam.
Panglima 6 Briged Brig Jen Datuk Abdul Aziz Ismail berkata kesemua PATI Myanmar berumur antara 18 hingga 43 tahun ditahan pada pukul 8.30 pagi.
“Terdahulu, pasukan Batalion Ke-2 Rejimen Sempadan (RS) yang diketuai Koperal Muhamad Rizuwan Saad ternampak pergerakan sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang menuruni bukit di kawasan kebun getah berhampiran pos berkenaan.
Apabila ternampak pasukan terbabit, PATI itu cuba melarikan diri dan menyorok di dalam semak, bagaimanapun tindakan pantas pasukan terbabit berjaya menahan kesemuanya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Abdul Aziz berkata pemeriksaan mendapati kesemua PATI terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah sebelum ditahan dan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan selanjutnya. – Bernama