BRUSSELS, 20 Okt – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata lawatan rasmi beliau ke Brussels untuk menghadiri sidang kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) telah membuahkan hasil dalam mempertingkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU).
Dr Wan Azizah tiba di sini pada Rabu dengan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak ke-12 ASEM pada 18 dan 19 Okt.
Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Eropah sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei susulan kejayaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-14 pada Mei lepas.
Bercakap kepada media sebelum pulang ke Malaysia di akhir lawatannya itu, Dr Wan Azizah berkata beliau mengadakan pertemuan yang berhasil dengan tiga ketua kerajaan dan seorang timbalan perdana menteri daripada EU di samping mengetengahkan serta menjadi pencelah dalam beberapa isu penting pada sidang kemuncak berkenaan.
Dr Wan Azizah mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte; Perdana Menteri Ireland Leo Varadkar; Perdana Menteri Norway Erna Solberg dan rakan sejawatan beliau dari Belgium, Jan Jambon.
“Saya membangkitkan isu minyak sawit bersama keempat-empat pemimpin itu dan mengulangi hakikat bahawa Malaysia masih mengekalkan 55 peratus daripada keluasan hutannya.
“Minyak sawit kita menepati standard antarabangsa dan menjadi kewajipan bagi semua peserta industri minyak sawit Malaysia untuk mendapat pengesahan lestari menerusi skim pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO),” katanya kepada Bernama dan RTM di akhir sidang kemuncak itu pada Jumaat.
“Dengan Belgium, saya juga bercakap tentang kerjasama dalam menentang keganasan dan kesepakatan dalam memerangi jenayah siber. Jambon berkata perlu ada kesamarataan bagi negara yang menghasilkan minyak boleh dimakan dan tidak harus wujud sebarang diskriminasi dalam hal itu.
“Norway pula menyuarakan minat untuk bekerjasama ke arah mempertingkatkan hubungan perniagaan dengan kedua-dua negara dan kami mahu agenda yang lebih tersusun di peringkat antarabangsa untuk mewujudkan hubungan berkaitan kelestarian penggunaan laut,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata dengan Ireland, perbincangan berkisar tentang bagaimana Malaysia boleh menjadi pintu masuk bagi negara anggota ASEAN yang lain. – Bernama