Home Semasa Pelanggaran tren: KTMB mulakan siasatan secepat mungkin

Pelanggaran tren: KTMB mulakan siasatan secepat mungkin

by Nurulhuda

TANJUNG MALIM, 18 Okt – Insiden perlanggaran dua tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen Tanjung Malim pagi tadi akan disiasat berdasarkan dua aspek utama iaitu masalah teknikal dan kesilapan manusia.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Rani Hashim Samsudin berkata siasatan akan dijalankan secepat mungkin bagi mengenal pasti punca serta langkah yang perlu diambil untuk menanganinya.

“Buat masa ini kerja-kerja pembaikan trek sedang dilakukan selain menunda tren yang terlibat bagi membolehkan laluan ke utara yang terjejas dapat dibuka semula, sekali gus melancarkan perkhidmatan.

“Pada masa ini hanya satu laluan dibuka dan kelewatan perkhidmatan tren ini berlaku kerana penggunaan satu landasan sahaja di antara Tanjung Malim dan Kuala Kubu Baru,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian di sini.

Katanya kejadian itu adalah yang kedua dalam tempoh dua tahun selepas kejadian pada Mei 2016 di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Mengulas lanjut, Rani Hashim berkata selain kerosakan trek, dua daripada enam koc tren komuter mengalami kerosakan yang agak teruk.

Terdahulu hari ini, KTMB dalam satu kenyataan berkata dalam kejadian 6.02 pagi di Platform 2 stesen berkenaan lima daripada 20 penumpang tren komuter cedera ringan dan telah dihantar ke klinik kesihatan di sini.

Tren kargo dengan muatan 30 gerabak itu dalam perjalanan dari Stesen Jalan Kastam ke Ipoh Cargo Terminal (ICT) Ipoh manakala tren komuter pula sedang bersedia untuk memulakan perjalanan ke Stesen Pelabuhan Klang yang dijadualkan pada 6.05 pagi.

Rentetan perlanggaran itu, perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi sektor utara mengalami kelewatan perjalanan 10 hingga 15 minit manakala perkhidmatan tren komuter pula mengalami gangguan perjalanan bagi laluan Tanjung Malim-Kepong dengan jangkaan kelewatan 20 hingga 30 minit.

Insiden bagaimanapun tidak menjejaskan perkhidmatan KTM Komuter laluan KL Sentral-Pelabuhan Klang dan Batu Caves-Pulau Sebang. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!