SUBANG, 17 Okt – Tanggal 8 Febuari 1986 menjadi titik sejarah yang dikenang seumur hidup Kolonel Tadbir Berita Tentera Darat Malaysia, Kolonel Zulkifli Tahir, kerana pada hari itulah beliau kehilangan kaki kanannya yang putus hingga ke bahagian betis akibat terpijak jerangkap samar.
Menceritakan detik cemas menimpa dirinya, pejuang berusia 58 tahun itu berkata ketika kejadian beliau yang mengetuai Platun Tinjau Batalion Ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja (9 RAMD) ditugaskan untuk memeriksa serta membersihkan jerangkap samar yang diletakkan komunis di kawasan hutan di Gubir, Kuala Nerang, Kedah.
“Pasukan saya yang terdiri 18 anggota berperanan untuk memeriksa laluan sebelum batalion utama melalui kawasan itu. Saya ingat lagi, kejadian berlaku pada 7.15 pagi Jumaat ketika saya berusia 26 tahun, waktu itu saya bersama dua anggota sedang memeriksa keadaan laluan di atas bukit di hutan itu.
“Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi kami, ketika pemeriksaan, seorang anggota telah terpijak jerangkap samar yang secara tidak langsung turut mengaktifkan satu lagi jerangkap samar yang berada berhampiran dengan saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Meraikan Anggota Cedera peringkat pusat sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-85, semalam.
Bermula sejak itu, walaupun Zulkifli terpaksa memakai kaki palsu, namun kerana cinta akan negara, ia sedikit pun tidak melunturkan semangatnya untuk terus berjuang mencurah bakti kepada negara.
“Ini takdir saya, sudah 32 tahun saya pakai kaki palsu ini…selagi saya ada kudrat, selagi itu saya akan terus berjuang bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Bagi saya, kebajikan yang dipamerkan ATM terhadap anggotanya adalah yang terbaik, walaupun saya cacat kekal, namun ia tidak menghalang untuk saya terus berada dalam pasukan ini,” katanya.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin yang merasmikan majlis itu berkata ia diadakan bagi menghargai khidmat bakti anggota yang tercedera ketika melaksanakan operasi serta latihan yang berisiko tinggi.
“Jumlah keseluruhan anggota yang tercedera di seluruh negara ialah 571 anggota iaitu 56 daripadanya masih berkhidmat dan selebihnya telah bersara.
“ATM amat menitikberatkan soal kebajikan anggota dan kita tidak mahu mereka yang tercedera ini di pandang sepi semua pihak kerana jasa yang mereka tabur untuk negara tinggi nilainya,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan sagu hati berupa wang tunai sebanyak RM500 kepada anggota yang tercedera.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Affendi Buang serta 65 anggota dan veteran ATM.- Bernama