SHAH ALAM, 17 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga menghantar bantuan kemanusiaan dan keselamatan ke Palu, Sulawesi, Indonesia yang terjejas akibat gempa bumi serta tsunami.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, bagaimanapun, berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan daripada republik itu mengenai keperluan bagi bantuan susulan.
“Kita sebelum ini hanya menghantar pesawat pelbagai guna, A400M dan pesawat C130 bagi menghantar barangan muatan berat serta keperluan asas.
“Alhamdulillah, pasukan kita berjaya menyelesaikan semua misi bantuan itu dan semua aset ketenteraan termasuk sebuah kapal laut selamat pulang ke tanahair pada 10 Oktober lalu.
“Namun, kita bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersiap sedia sekiranya diperlukan bagi membantu negara jiran itu pada bila-bila masa,” katanya.
Zulkifli juga berkata, pihaknya berpuas hati dengan penghantaran aset ketenteraan terutama pesawat A400M yang dianggap signifikan dalam membantu Indonesia.
Tambahnya lagi, TUDM berjaya membantu mengangkut muatan berat seperti lori tangki yang sememangnya amat diperlukan republik itu untuk dibawa ke lokasi terjejas.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Cedera Peringkat Pusat sempena Hari ATM ke-85 di Pangkalan Udara TUDM Subang, dekat sini, semalam
Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Misi kemanusiaan mangsa bencana gempa dan tsunami di Palu serta Donggala bermula pada 4 Okt lepas telah menggunakan pesawat A400M untuk penghantaran bantuan ke Palu selain sebuah lagi pesawat C130H milik TUDM yang berpangkalan di Labuan.
Pada 28 Sept, gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 skala Richter yang berpusat di timur laut Donggala menggoncang Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah yang disusuli dengan tsunami setinggi tiga meter.