KUALA LUMPUR, 16 Okt – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengingatkan semua pihak agar tidak memperlekehkan kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, anggota ATM sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan walaupun negara tidak akan berperang dengan negara lain.
“Kalau ada kerosakan (peralatan), kita akan baiki tetapi kapal terbang kita bukan Sukhoi sahaja ada banyak lagi ada di Butterworth.
“Kita tidak mahu mencabar mana-mana negara, tetapi keupayaan tentera Malaysia amat tinggi untuk pertahankan negara. Jangan sesiapa cuba perlekehkan keupayaan ATM,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang ingin tahu sejauh mana keupayaan jet pejuang ATM, khususnya dalam operasi dan peperangan.
Mohamad Sabu juga mengakui Malaysia tidak mampu mengeluarkan jet pejuang sendiri kerana berdepan kekangan kewangan.
“Di pihak universiti atau penyelidik ada memberi pandangan Malaysia boleh mengeluarkan kapal terbang pejuang menjelang 2030.
“Kita sudah mampu hasilkan kapal terbang penumpang, walaupun ia masih di peringkat kecil, nak besarkannya tiada masalah. Tetapi, untuk buat jet pejuang, masalahnya belum ada keupayaan penuh, terutamanya dari sudut kewangan,” katanya lagi.
Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) mengenai usaha kementerian serta Majlis Industri Pertahanan Malaysia (MIPM) membantu syarikat industri pertahanan tempatan menyediakan keperluan pertahanan negara sambil menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.