Home PolitikPakatan Harapan Pemuda AMANAH hantar bantuan ke Palu, Indonesia

Pemuda AMANAH hantar bantuan ke Palu, Indonesia

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Parti Amanah Negara (AMANAH) akan menggerakkan misi bantuan kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi Indonesia pada 22 hingga 24 Okt ini.

Presidennya Mohamad Sabu berkata bantuan yang dikendalikan Pemuda AMANAH itu melibatkan pemberian dana dan penghantaran pasukan bantuan bagi mengenalpasti keadaan dan memulihkan kembali kawasan yang terjejas akibat bencana alam itu.

Katanya AMANAH mendapat kerjasama daripada lembaga kemanusiaan di Indonesia iaitu Aksi, Cepat, Tanggap (ACT) untuk menjalankan misi bantuan ini.

“Bantuan ini lebih kepada peninjauan awal oleh pasukan bantuan kami yang terdiri daripada jurutera, doktor dan wartawan kerana Palu memerlukan jangka masa yang agak panjang untuk pulih,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang ingin memberi bantuan boleh menyalur derma ke Tabung Kebajikan Pemuda AMANAH menerusi akaun Maybank 5628-3464-1808, dan menurutnya tabung kebajikan Pemuda AMANAH yang dilancarkan awal bulan ini bagi mengutip dana membantu mangsa tragedi di Palu sehingga ini mengumpul lebih RM50,000.

Gempa bumi magnitud 7.7 pada skala Richter dan tsunami yang melanda Palu pada 28 Sept setakat ini mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan akibat tragedi itu.  – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!