KOTA BHARU, 14 Okt – Bajet 2019 yang akan dibentangkan 2 Nov nanti diharap akan memberi tumpuan kepada penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia, kata Presiden Majlis Belia Kebangsaan (MAYC) Mohd Syahbuddin Hashim.
Mohd Syahbuddin berkata ia selari dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berjanji akan mewujudkan satu juta peluang pekerjaan buat anak muda dan menetapkan gaji minimum RM2,500 jika mereka berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu menyebabkan banyak syarikat mengecilkan jumlah pekerja.
“Sebagai sebuah kerajaan baharu yang mendukung aspirasi rakyat kita harap isu peluang pekerjaan dapat diteliti dan mampu ditangani dengan serius melalui tindakan atau peruntukan tertentu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata Bajet 2019 adalah masa yang paling sesuai untuk kerajaan mengotakan janji di dalam manifesto tersebut.
“Kehilangan kerja memberi tekanan yang besar kepada belia dan merencatkan perancangan kehidupan mereka.
“Bagi belia yang berfikiran positif mungkin akan mencuba pelbagai kerja lain tetapi kita juga khuatir mereka akan terjebak dengan pelbagai aktiviti negatif lain demi kelangsungan hidup,” kata Mohd Syahbuddin.
Selain itu katanya kerajaan diharap meneruskan pemerkasaan pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) melalui bantuan dana atau pinjaman tertentu menerusi Bajet 2019.
“Ini penting bagi memastikan kebolehpasaran graduan relevan dengan perubahan persekitaran pasaran kerja abad ke-21 yang memerlukan tenaga kerja mahir,” katanya.
Mohd Syahbuddin berkata projek mega yang merangsang ekonomi juga patut diteruskan seperti Projek Central Spine Road (CSR) atau jalan lingkaran tengah yang menghubungkan Gua Musang ke Merapoh, Pahang yang dapat membangunkan ekonomi penduduk setempat.
Katanya kesejahteraan rakyat termasuk golongan belia harus terus menjadi keutamaan kerajaan walaupun negara berdepan ekonomi tidak menentu. – BERNAMA